Sunday 30 March 2014

MH370

Salam olls
sekarang ni seluruh dunia kesoh mengenai kehilangan MH370.  Pelbagai andaian, teori yang kita dengar kn??? Kehilangan  yang melibatkan Jumlah Penumpang: 239 termasuk 12 anak kapal dan dua bayi.  Juruterbang: Kapten Zaharie Ahmad shah (53 tahun) dan Kapten Fariq Abdul Hamid (27 tahun).  


RASANYA tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada peristiwa besar berlaku yang menyebabkan media antarabangsa membuat laporan tanpa henti dan bertubi-tubi sebagaimana yang mereka hidangkan dalam kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lepas.
Media, dalam kerancakan mencari kisah sebenar di sebalik misteri MH370, pun terlanjur melaporkan cerita-cerita pelik itu, yang menimbulkan keragaman antara tahyul dan fakta sains.

Tugas asas media adalah untuk mencari kebenaran atas apa yang berlaku kepada pesawat MH370 dan melaporkannya untuk kepentingan orang ramai, tetapi organisasi media dari pelbagai negara melihat fakta, komen dan pendedahan tersebut berdasarkan kepentingan nasional masing-masing.

Sebagai contoh, apabila stesen televisyen Australia mendedahkan foto-foto pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid bergambar dengan dua gadis dari Afrika Selatan dalam kokpit sebuah pesawat MAS yang terbang dari Thailand ke Kuala Lumpur, ada pihak kurang senang dengan laporan yang tidak sensitif itu.

Terdapat pihak di Malaysia mengkritik etika media Australia, dan berlaku perang media mengenai kesesuaian menyiarkan gambar-gambar seumpama itu pada saat-saat kesedihan keluarga anak kapal dan penumpang pesawat MH370.

Di Malaysia juga, ketika media Amerika dan British mempersoalkan hobi juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mempunyai simulator Boeing 777 di rumahnya, media dan polis Malaysia memilih untuk menjaga ketertiban. Polis hanya memeriksa rumah Kapten Zaharie di Shah Alam selama dua jam petang semalam ketika siasatan polis memasuki fasa penyiasatan jenayah.

Akhbar-akhbar Barat secara bebas membuat spekulasi mengenai kononnya pesawat MH370 dirampas, berlaku sesuatu kepada perlakuan juruterbang dan sebagainya, tetapi media di Malaysia memilih untuk bersikap konservatif dengan menunggu pasukan penyiasat mengumumkan sendiri penemuan-penemuan mereka.
Perbezaan mentaliti dan pendekatan media tergambar daripada liputan kehilangan MH370.

Namun, apa yang jelas daripada kehilangan pesawat MH370 ialah kita tidak boleh lagi memandang mudah isu-isu keselamatan di lapangan terbang dan dalam industri penerbangan yang kini wajib dipertingkatkan.
Pihak berkuasa Malaysia juga perlu menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk mendapatkan aset dan teknologi pasukan mencari dan menyelamat serta mempertingkatkan keselamatan ruang udara negara.

Pergantungan kepada negara-negara sahabat dalam operasi mencari MH370 yang ditunjukkan sejak 8 Mac lalu memang bagus untuk kerjasama bilateral dan serantau tetapi ada risiko tertentu kepada keselamatan Malaysia yang diakui sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Terdapat 14 buah negara terlibat dalam gerakan mencari membabitkan 57 kapal laut dan 58 pesawat. Ini belum lagi termasuk penggunaan satelit China, India dan Amerika Syarikat. Kos mencari MH370 amat tinggi.
Kehilangan MH370 turut membuka peluang kepada banyak pihak di Malaysia untuk menilai semula strategi nasional dalam pengendalian krisis serta bagaimana kerjasama di peringkat antarabangsa dapat dimanfaatkan. 

Ada kritikan dibuat ekoran kontradiksi fakta pada hari-hari pertama kehilangan pesawat selain kecelaruan dalam gambar dua lelaki Iran yang naik pesawat menggunakan pasport curi dan penjelasan separuh masak sesetengah pegawai semasa sidang akhbar.

Sungguhpun begitu, jika diletakkan dalam konteks yang lebih luas dan untuk berlaku adil, kehilangan pesawat MH370 bukan isu Malaysia semata-mata dan ia tidak menggambarkan kelemahan, sebaliknya membuktikan tiada sesuatu yang dapat dipanggil sempurna semasa pengendalian krisis kerana pengerahan aset dan teknologi paling canggih oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China pun belum membuahkan apa-apa hasil.
Dinamik dalam pencarian dan penyiasatan kehilangan MH370 ini mungkin membuatkannya terpahat sebagai salah satu misteri besar dunia, bukan setakat kepada Malaysia.



http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140316/re_03/Pengajaran-daripada-kehilangan-MH370

No comments:

Post a Comment